Friday, October 26, 2007

Menjelang Pelancaran ECER - Rapatkan Jurang Timur Dan Barat

Sekian lama Banjaran Titiwangsa menjadi tembok pemisah yang mewujudkan ketidakseimbangan pembangunan antara wilayah pantai Barat dan Timur Semenanjung Malaysia.Minggu depan, tembok penghalang itu bakal "dilenyapkan" apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual melancarkan pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kuala Terengganu 29 Oktober ini.

ECER bakal melengkapkan rencana pembangunan bagi mengimbangi seluruh wilayah di Semenanjung selepas pelancaran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Utara dan Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) di Selatan.

Nota:- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menjanjikan pelaburan sebanyak RM177 bilion dalam tempoh 18 tahun antara 2007 dan 2025 di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Pelan Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), sebuah rancangan pembangunan ekonomi mega, dijangka mencetuskan kegiatan ekonomi yang rancak dan memberi faedah sampingan yang besar di Pahang, Terengganu, Kelantan dan sebahagian daripada Johor dimana sejumlah RM112 bilion akan dilaburkan dalam Koridor Pantai Timur, dengan kira-kira 40 peratus daripadanya akan dibelanjakan bagi hubungan pengangkutan utama dan kemudahan-kemudahan prasarana penting yang lain.

Pelan induk yang dirangka oleh syarikat multinasional negara, Petronas, dilihat sebagai pembasmi kemiskinan dan pemangkin kemajuan bagi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan kawasan Mersing di Johor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata tumpuan program ialah mewujudkan jalinan perhubungan dan pengangkutan seperti pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Kuala Terengganu dan Kota Bharu, fasa empat Lebuh Raya itu yang menghubungkan Kuantan ke Johor Bharu dan jalan raya menghubungkan Temerloh ke Kuala Pilah.

Walaupun negeri-negeri dalam ECER meliputi 51 peratus keluasan Semenanjung Malaysia, namun pendapatan purata isi rumah adalah yang paling rendah di Malaysia. Terengganu mencatatkan kemiskinan tertinggi iaitu 15.4 peratus, diikuti Kelantan 10.6 peratus dan Pahang 4.9 peratus.

Di bawah pelan induk ECER, sejumlah 561,000 pekerjaan akan diwujudkan menjelang 2020 dengan pelancongan dan pertanian menjadi teras di samping industri petroleum dan gas yang akan dterus dikembangkan oleh Petronas.

Antara 227 projek yang dilaksanakan di bawah ECER, sektor pembangunan yang diyakini dapat mengembangkan ekonomi masyarakat Melayu ialah penggunaan pintar ke atas rizab Melayu di Pantai Timur, dengan keluasan 40 peratus daripada tanah dalam ECER.

Inisiatif ECER adalah sejajar dengan hasrat yang dinyatakan Perdana Menteri iaitu untuk membasmi kemiskinan dan membangunkan modal insan, tegas Petronas.

Ia bertujuan menambah pendapatan hampir empat juta orang, yang mewakili 15 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini, bakal mewujudkan 560,000 pekerjaan baru dan menarik pelaburan berjumlah RM112 bilion dalam tempoh 12 tahun akan datang.

Pelan induk yang "memberi tumpuan kepada rakyat" dan dikendalikan Petronas ini melibatkan 227 projek dalam sektor pengangkutan, prasarana, pelancongan, pendidikan, pembuatan, minyak dan gas serta pertanian.

ECER juga bertujuan menangani ketidak seimbangan pembangunan antara pantai timur dan barat Semenanjung Malaysia serta perbezaan pendapatan antara kawasan bandar dan luar bandar dalam wilayah berkenaan.