Friday, October 26, 2007

Jalan Mesti Ke Depan - Mentor Gemilang



Nak... mari sini. Pakcik ada cerita sikit pasal bantu-membantu.....”

Cerita apa pakcik?...”

Bantu.... Dia puas mendengar perkataan itu...

Anugerah dan bencana adalah kehendaknya.... kita harus tabah menjalani....

Kadangkala kecacatanya menjadikannya lebih berani.... tapi lama-kelamaan dia ingin bebas... bebas dari mengharap bantuan...

"Dah lama ke pakcik pakai kaki nie?”

Dah lama nak… dan dah jauh pakcik jalan…”

Tapi kena ingat tau... jalan mesti ke depan bukan ke belakang...“


Jalan ke depan dan jangan ke belakang!''
Masih ingat pesan itu?

Itu ialah pesan yang disampaikan oleh Othman Hafsham dalam iklan Petronas yang disiarkan di kaca TV pada musim Hari Kemerdekaan baru-baru ini.

Memang pesan itu cukup berkesan pada penontonnya. Begitu simbolik. Tapi lebih berkesan lagi pada lakonan yang ditampilkan Hafsham. Karakternya sebagai lelaki berkaki kudung ternyata hampir berjaya "menipu" setiap penonton.

Begitu cerita pelakon dan pengarah berpengalaman ini terhadap kesan iklan yang dilakonkannya itu.

Sambil menunjukkan kakinya pada pertemuan baru-baru ini, kata Hafsham, "Saya sebenarnya tidak kudung. Saya juga tidak pakai kaki palsu.''

Kenapa harus tampilkan watak lelaki kaki kudung?

Menurut Hafsham, sebenarnya ada yang tersirat di sebalik yang tersurat pada iklan itu. Apa yang tersirat ialah pesanan supaya kita jangan selalu mengharapkan bantuan walaupun kurang upaya.

"Dari segi simbolik, walaupun kaki palsunya tertanggal sewaktu bermain bola sepak di padang, dia perlu bergerak dengan sebelah kaki.

Itulah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, harus terus mara ke depan. Jangan undur ke belakang,'' kata Hafsham.

Life Is A Journey“ dan tiada siapa dapat membantu kita melainkan kita membantu diri kita sendiri "Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah [nasib dan keadaan] sesuatu kaum kecuali mereka sendirilah yang mengubahnya".


Fikir-fikirkanlah...

Mentor:- Kita seharus bersyukur kerana Malaysia terus membangun dan memberikan banyak peluang kepada rakyatnya agar ramai yang mendapat kejayaan ....malangnya ramai yang kurang/tidak bersyukur kepada rezeki yang Allah telah limpahkan itu...

Rela terhadap ketetapan Allah subhanahu wata’ala.

Jika seorang muslim tertimpa kemiskinan atau kekurangan harta maka hendaklah dia bersabar dan rela dengan takdir Allah, karena tidaklah Allah subhanahu wata’ala menciptakan kefakiran melainkan hanya untuk menguji hamba.

Allah subhanahu wata’ala menjelaskan hal itu dalam firman-Nya, artinya, “Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun". (QS. 2:155-156) Al Imam an-Nawawi - "Keutamaan Fakir"


Masihkah anda ingat pesanan ini...


Alhamdullilah, segala puji bagi Allah S.W.T yang mengurniakan begitu banyak nikmat kepada kita semua di Malaysia . Di negara bertuah ini tidak ada apa-apa kekurangan. Makan minum lebih daripada mencukupi; pakaian dan tempat berteduh tetap ada bagi semua. Jika ada yang daif, yang ditimpa apa-apa malapetaka, ada sahaja bantuan yang dihulur oleh Kerajaan dan masyarakat. Jika ada sebilangan kecil yang masih bernasib buruk kerana tidak dikesan, yang mungkin dicungkil oleh pihak tertentu untuk membuktikan bahawa keadaan di negara kita tidak sebaik seperti yang didakwa, ini hanyalah kerana tidak dimaklumkan kepada masyarakat.

Sesungguhnya mereka tetap akan mendapat bantuan daripada orang yang murah hati dalam masyarakat dan daripada Kerajaan apabila keadaan mereka dilapor. Sebenarnya tidak ada rakyat Malaysia yang harus hidup merana, kekurangan makanan dan minuman, serta kekurangan pakaian dan bumbung di atas kepala. Sebenarnya rakyat Malaysia bahagia dan bertuah dan perlu bersyukur sepanjang masa.

Inilah negara kita Malaysia, di mana kita hidup sempurna, mewah dan selamat, di mana undang-undang melindungi kita semua tanpa mengambilkira pangkat darjat. Tetapi semasa kita bergembira, janganlah kita lupa akan saudara seagama kita di negara-negara lain yang tidak dapat merayakan hari kebesaran ini, yang terpaksa tinggal di kem-kem pelarian yang amat daif, yang terdedah kepada kesejukan yang tidak terhingga di musim salji ini, yang mempunyai hanya khemah-khemah yang koyak-rabak, tidak berselimut, tidak ada makanan dan ubat untuk yang sakit.

Di mana juga kita lihat kita akan dapati ramai orang Islam bukan sahaja tidak dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan riang gembira, tetapi sebaliknya mereka menderita sepanjang masa. Mereka ditindas, dibunuh; mereka mati kerana kesejukan, kelaparan dan tidak mempunyai perubatan yang diperlukan. Sesungguhnya ramai umat Islam yang bernasib amat buruk.

Tetapi dapatkah kita salahkan musuh-musuh Islam semata-mata? Tidakkah ada kesalahan yang dilakukan oleh orang Islam sendiri, yang menyebabkan nasib buruk ini menimpa mereka? Apakah semua ini memang sudah ditakdirkan?

Apakah ini adalah kehendak Tuhan?

Allah S.W.T telah berfirman dalam Al Quran Surah An-Nisaa' Ayat 79 bahawa segala yang buruk yang menimpa kita datangnya daripada kita sementara segala yang baik yang kita perolehi datang daripada Allah S.W.T. Allah juga telah berfirman dalam Surah Al Ra'du, Ayat 11 bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Justeru itu janganlah kita dengan mudah menyalahkan takdir apabila yang buruk berlaku kepada kita. Yang buruk itu datangnya daripada kita. Dan sebenarnya kita yang menyebabkan kita orang Islam menjadi lemah dan mudah ditindas.

Kita tidak berusaha menguatkan diri kita dengan mengelak daripada perpecahan, mendirikan pemerintahan yang berwibawa dan cekap, menguasai segala ilmu yang penting untuk kemajuan dan ketahanan umat Islam. Sementara kita boleh berdoa meminta perlindungan dan pertolongan Tuhan, kita juga perlu berusaha untuk melindungi dan mempertahankan diri kita. Kemudian barulah doa kita akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t.

Tetapi kita tahu ramai orang Islam yang menolak persaudaraan dalam Islam, yang suka melempar fitnah, dan cuba mencetuskan huru hara dalam negara sendiri dengan menyalah tafsir dan memperalatkan agama Islam untuk kepentingan diri.

Tiap negara Islam mempunyai puak yang ingin menjatuhkan Kerajaan kerana kononnya kerajaan yang ada adalah sekular dan tidak Islam. Mereka melancarkan serangan untuk menggulingkan kerajaan. Akibatnya kerajaan tidak dapat memberi tumpuan kepada pembangunan dan pertahanan negara.

Masa sudah tiba bagi orang Islam berhenti daripada menyalahkan Tuhan dan merenung dan menganalisa akan sebab-sebab umat Islam ditindas, negara Islam menjadi begitu lemah, mudah diserang dan ditewas dan tidak ada hari kebesaran Islam yang dapat dirayakan dengan sempurna dan gembira oleh ramai daripada orang Islam.

Kita perlu bertanya kepada diri kita apakah malapetaka yang menimpa umat Islam ini di sebabkan oleh takdir atau apakah ia disebabkan oleh kita mengabaikan ajaran Islam yang sebenar, ajaran yang menyuruh kita berusaha mengubah nasib kita sendiri dan tidak hanya berdoa meminta-minta daripada Tuhan untuk menyelamatkan kita? Apakah jika kita berusaha dan dengan itu kita menjadi kuat, maju dan selamat maka kejayaan kita ini tidak boleh dikatakan takdir juga? Jika apa yang berlaku kepada kita adalah takdir, maka kejayaan hasil usaha kita tentulah juga takdir.

Janganlah kita percaya orang yang mendakwa tempat kita orang Islam adalah di akhirat dan yang diperlukan daripada kita hanyalah berbuat ibadat tertentu yang memberi pahala kepada diri kita sendiri. Ingatlah apabila Sepanyol berjaya menewaskan Kerajaan-kerajaan Islam di Al Andalus, orang Islam dipaksa memeluk agama Kristian. Keturunan mereka sekarang tidak lagi ingat atau tahu berkenaan agama Islam anutan nenek moyang mereka.

Yang mereka tahu ialah sekarang mereka bukan Islam. Inilah nasib yang menimpa orang Islam yang di tewas. Apakah kita hendak nasib ini menimpa kita, kerana kita enggan berusaha untuk mengubah nasib kita seperti yang disuruh oleh Tuhan dalam Al-Quran?

Di Malaysia hari ini kita hidup terselamat. Kita dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna. Kita tidak perlu melarikan diri daripada apa-apa serangan, daripada bencana dan malapetaka hasil perbuatan kita. Kita selamat kerana kita berjaya dalam usaha menangkis berbagai-bagai percubaan untuk merosakkan negara kita, menjadikan kita miskin, menjadikan kita pengemis yang meminta-minta pertolongan daripada orang asing yang tidak mempunyai niat baik terhadap kita. Tetapi janganlah kita fikir serangan ke atas kita tidak akan dilakukan lagi. Jika kita tidak berjaga-jaga, tidak berusaha meningkatkan daya tahan kita, serangan yang akan datang mungkin menewaskan kita.

Pada hari yang mulia ini kita harus memperingati diri kita akan nasib baik kita, nasib baik hasil usaha kita, hasil dari pegangan majoriti daripada kita kepada ajaran Islam bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak berusaha mengubahnya sendiri, kepercayaan kita bahawa segala keburukan yang menimpa kita datangnya daripada kita dan bukan daripada Allah s.w.t.

Dengan kesedaran ini marilah kita semua membuat resolusi bahawa kita akan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, iaitu kita bermula dengan merapatkan kembali hubungan kita sesama kita orang Islam semasa kita berjemaah di masjid dan bersalam-salaman, bermaaf- maafan, menziarahi rumah-rumah ahli keluarga dan kawan- kawan, bahkan ke rumah kenalan yang rapat dan yang tidak, berbual-bual berkenaan dengan persaudaraan kita sesama orang Islam, berkenaan dengan ajaran Islam yang semuanya baik belaka, supaya dapat kita hidup sebagai orang Islam yang bersaudara, yang tidak sahaja mengutamakan fardhu ain untuk diri kita, tetapi sumbangan kita kepada masyarakat Islam setempat dan keseluruhannya melalui fardhu kifayah.

Selepas hari raya kita orang Islam patut tukar budaya kita supaya lebih merupakan budaya Islam yang sebenar, iaitu dengan mengurangkan tekanan kepada rupa bentuk Islam tetapi kepada isi kandungan ajaran Islam yang mengutamakan usaha untuk memperbaiki pencapaian hidup kita di dunia dan bekalan kita untuk akhirat. Ini bermakna kita semua harus berusaha menguasai semua ilmu yang boleh menguat dan meningkatkan daya tahan orang Islam Malaysia di samping memiliki pengetahuan ajaran Islam yang sebenar.

Janganlah sesiapa menghalang anak-anak kita daripada menuntut ilmu-ilmu yang boleh membebaskan kita daripada bergantung kepada orang lain, kepada musuh kita, untuk keperluan hidup kita, untuk pertahanan kita, kerana sesungguhnya perbuatan ini mengkhianati Islam dan umat Islam.

Kita orang Islam di Malaysia dan di negara-negara Islam lain atau di negara-negara bukan Islam mestilah menguasai semua ilmu dan kecekapan supaya kita dapat bersaing dengan jayanya dengan orang bukan Islam di mana sahaja. Untuk ini kita perlu berusaha dengan lebih gigih, lebih daripada orang bukan Islam yang sudah maju kerana tidak mungkin kita mengejar orang yang berada di hadapan kita jika kita bergerak sama pantas dengan mereka.

Sudah tentu jika kita kurang pantas daripada mereka, jarak di antara kita dengan mereka akan menjadi lebih jauh dengan pengaliran masa. Ingatlah hari ini betapa mudahnya kita ditekan, ditakluk dan dipermain oleh mereka. Jika kita di masa- masa akan datang tertinggal lebih jauh, nasib kita tentu akan lebih buruk lagi dari sekarang.

Orang Islam perlu menjaga maruah dan kemuliaan agama Islam dan umat Islam. Kita boleh berdoa meminta kepada Tuhan supaya kita diselamatkan tetapi kita tahu Tuhan tidak menyuruh kita meminta-minta daripadanya sahaja tanpa berusaha sendiri. Janganlah kita lupa dan ketepikan bahagian kita di dunia yang perlu mengimbangi bahagian kita di akhirat.

Hari Raya memberi peluang kepada kita menunjuk kebaikan agama Islam kepada semua pihak. Dengan ini kita akan dapat mematahkan dakwaan pihak tertentu yang cuba memburuk-buruk agama Islam dan orang Islam. Kita akan dapat mempamerkan apa sebenarnya agama Islam dan apakah peribadi orang Islam menurut ajaran Islam yang sebenar.

OLEH TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD - 15/12/2001