Thursday, August 30, 2007

Di Ambang Kemerdekaan - Mentor Gemilang

Tomorrow will be Malaysia 50th birthday - yes, 50th Independence Day - MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!





HAPPY BIRTHDAY MALAYSIA!

I would like to take this opportunity to share this two articles in Bahasa Melayu with my fellow Malaysian members.

Sebelum kita bersuka-ria menyambut kemerdekaan,kita seharusnya sedar bahawa hakikatnya....adakah kita sebenarnya memahami maksud kemerdekaan?


BAHAGIAN 1 : Apakah maksud kemerdekaan?

Menurut Kamus Dewan, merdeka membawa maksud bebas, lepas, berdiri sendiri dan tidak bergantung kepada orang lain.

Dalam hal ini, jika kita menelusuri data-data mengenai penglibatan remaja kita dalam masalah sosial sangat membimbangkan.

Adakah ini mencerminkan ciri-ciri remaja dalam sebuah negara merdeka?

Remaja Islam sebenarnya mempunyai tempat yang tinggi dalam masyarakat dan negara.Ini berdasarkan hak yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada setiap diri insan seperti tersebut di dalam al Quran yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami angkat mereka di dataran dan lautan, dan Kami beri rezeki mereka dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna”. (al Isra: ayat 70)

Untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut marilah kita renungkan dan hayati isu-isu yang melibatkan golongan remaja kita pada hari ini terutamanya remaja Islam.

Penagihan dadah serta pil Ecstasy

Sebanyak 45 peratus golongan penagih dadah didapati mula terlibat secara tidak aktif sewaktu zaman persekolahan. Ada sesetengah daripada remaja pada hari ini menghidu gam, minum air daun ketum atau dikenali sebagai `air biak', ganja serta menghisap pit.

Manakala pengambilan Pil ecstasy di kalangan remaja juga semakin membimbangkan. Ini berdasarkan kepada siri penangkapan remaja-remaja di pusat hiburan mendapati pil-pil ecstasy boleh didapati dengan mudah di sana.

Seks Bebas

Seks bebas boleh diterjemahkan sebagai perhubungan seks tanpa ikatan nikah yang sah kini menjadi isu serius yang melanda remaja masa kini. Keadaan ini ada kaitannya dengan penyebaran teknologi maklumat yang begitu berleluasa serta ditambah pula dengan iman yang rapuh dalam diri para remaja islam pada hari ini.

Fenomena video lucah, serta bahan-bahan bacaan lucah begitu mudah didapati di pasaran. Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang hebatnya. Harus disedari bahawa perlakuan seks bebas merupakan perbuatan yang diharamkan dalam Islam.

Oleh itu, di dalam Islam bagi mereka yang tidak dapat menahan keinginan, Islam menggalakkan umatnya menggunakan saluran lain seperti berkahwin atau berpuasa.

Fenomena seks bebas berlaku di mana-mana negara seluruh dunia. Di Amerika Syarikat misalnya dan juga negara-negara Barat lain, kajian menunjukkan satu daripada lima remaja melibatkan diri dalam hubungan seks sebelum mereka mencapai umur 15 tahun.

Pengaruh persekitaran yang begitu kondusif turut menggalakkan perlakuan seksual seperti itu. Kehidupan anak-anak yang terlalu terkongkong atau tidak rapat dengan ibu bapa atau keluarga, boleh menyebabkan anak-anak ingin meneroka sesuatu yang negatif. Selain itu kurangnya didikan agama juga menjadi punca utama mengapa mereka tidak dapat menahan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat seperti ini.

Jenayah

Penglibatan para remaja dalam kegiatan jenayah juga sangat membimbangkan. Hasil kajian yang dibuat oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengenai pembabitan remaja Melayu di ibu kota dalam kejadian jenayah sungguh mengejutkan.

Ini kerana remaja Melayu seakan menjadi jaguh dalam kebanyakan kategori jenayah yang berlaku di ibu negara sama ada yang dilapor atau tidak oleh media massa negara ini.

Kajian itu merumuskan bahawa remaja Melayu begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk keseronokan. Ini menunjukkan bahawa betapa rapuhnya iman remaja pada hari ini sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar batasan kemanusiaan.

Remaja dan Black Metal

Dalam kesibukan negara hendak menjadikan negara ini sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia, Malaysia sekali lagi dikejutkan oleh pendedahan wujudnya pengaruh Black Metal di kalangan pelajar sekolah, menengah dan ada diantaranya adalah daripada golongan professional.

Apa yang lebih memeranjatkan banyak pihak, budaya negatif ini bukan sahaja berlaku di sekolah menengah sahaja, malahan ada murid-murid sekolah rendah juga dilaporkan terlibat dengan gejala yang tidak sihat ini.

Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini bukan sahaja mendatangkan impak yang bermanfaat, malahan turut sama menyebar luaskan unsur-unsur yang tidak sihat seperti pengaruh Black Metal ini.

Perbuatan seperti membakar Al-Quran, kencing atas Al-Quran, meminum darah kambing hitam, tidak sedarkan diri, mendengar muzik dan lagu yang tiada mesej dan bermacam-macam lagi.

Apakah ini bentuk kehidupan remaja Islam kini?

Sehingga sanggup memperlekehkan kemuliaan Al-Quran. Tidak keterlaluan jika dikatakan pengaruh Black Metal lebih dahsyat dari pengaruh budaya rock, punk, hippies, skin head dan banyak lagi yang kesemuanya diimport dari barat.

Di manakah erti kemerdekaan kepada muda-mudi Islam ini jika mereka masih terpengaruh dengan budaya karut marut tersebut.

Remaja dan Lari dari Rumah

Sejak tahun 2003, dilaporkan sebanyak 16,020 orang remaja bawah umu 17 tahun lari dari rumah. Daripada jumlah tersebut sebanyak 9,415 orang telah dijumpai semula.

Kebanyakan gadis-gadis bawah umur ini lari dari rumah atas factor mengikut teman lelaki dan juga tidak mahu dikongkong oleh ibu bapa mereka.

Bagi remaja Melayu faktor utama yang menyebabkan remaja lari dari rumah disebabkan oleh pengaruh rakan manakala remaja Cina disebabkan oleh masalah keluarga.

Remaja dan Idola Popular

Masyarakat Islam selalunya merujuk kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w sebagai rujukan sama ada dari segi amalan, kelakuan atau dikatakan sebagai cara hidup.

Tanpa disedari mereka sebenarnya telah menjadikan junjungan mulia sebagai idola. Manakala kita sebagai masyarakat Islam Malaysia yang hidup dalam sebuah negara merdeka, tidak ramai yang menjadikan tokoh-tokoh pejuang negara sebagai idola.

Mengapakah kita tidak berminat untuk menjadi seperti mereka yang telah berjuang bermati-matian mempertahankan negara sehingga kita dapat melepaskan diri dari belenggu penjajahan.

Apa yang berlaku dalam masyarakat kita khususnya remaja Islam masa kini meminati artis pujaan mereka dan sekaligus menjadikan artis tersebut sebagai idola mereka tanpa mengambil kira apakah sumbangan artis tersebut kepada negara dan agama.

Apakah nilai-nilai murni artis tersebut yang boleh dijadikan tauladan. Apa yang mereka tahu sekadar meminati nyanyian atau lakonan artis sahaja.

Begitu sempit pemikiran remaja Islam pada hari ini. Siapa sebenarnya yang layak menjadi idola kepada remaja-remaja ini? Tokoh korporat, negarawan, sasterawan, ahli sukan atau artis yang berada dalam lingkungan budaya popular?

Dalam hal ini, kita tidak boleh menyalahkan remaja Islam seratus peratus kerana jika diperhatikan sama ada di media cetak atau media elektronik, pendedahan mengenai perjuangan atau peranan cerdik pandai Islam, negarawan, sasterawan atau golongan ahli korporat kurang didedahkan.

Apa yang mendominasi media cetak dan elektronik masa kini adalah kehidupan golongan artis dan cerita-cerita hiburan semasa yang banyak melalaikan remaja dan mempengaruhi remaja untuk hidup dalam dunia glamour sebagai seorang artis.

Antara cara yang paling utama dalam menangani sesuatu masalah yang dianjurkan oleh Islam adalah melalui pengukuhan ikatan akidah. Ikatan akidah menuntut kita supaya meyakini bahawa Tuhan sekalian alam ialah Allah S.W.T yang maha berkuasa ke atas makhluknya.

Segala perintah dan suruhan Tuhan wajib ditaati. Dia yang Maha Mengetahui. Melalui ikatan akidah juga, kita tahu dari mana kita datang, kenapa kita datang ke dunia ini dan ke mana akhirnya hidup ini.

Dengan cara ini, para remaja akan mampu menghadapi segala masalah atau segala cabaran dengan penuh bijaksana dan kesabaran kerana meyakini Allah berkuasa ke atas segala-galanya.

Selain itu, remaja harus sentiasa melakukan kegiatan kerohanian agar sentiasa tenang dan tenteram dalam hatinya. Dengan ini remaja akan sentiasa ingat siapa diri mereka dan apa yang mereka harus lakukan untuk bekalan di masa depan. Dalam hal ini remaja perlu tahu bahawa ilmu keduniaan yang mereka miliki tidak akan menjamin seseorang itu terpelihara daripada anasir-anasir luar.

Pendidikan agama juga perlu seiring supaya perjalanan hidup seseorang individu muslim sentiasa terarah ke jalan yang diredhai Allah sw.t.

Remaja juga harus mencari mereka yang baik akhlaknya serta ilmunya untuk dijadikan model ikutan serta sumber rujukan untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka.

Begitu juga apabila memilih kawan. Kawan sebenarnya memainkan peranan dalam hidup seseorang individu. Ini kerana jika seseorang itu silap memilih kawan, kemungkinan untuk seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan adalah lebih tinggi.

Remaja pada hari ini lebih selesa mengunjungi pusat hiburan daripada mengunjungi majlis agama atau masjid-masjid. Ini kerana mereka merasakan masjid itu hanyalah tempat untuk bersolat sahaja. Mereka tidak mengetahui bahawa masjid merupakan tempat yang paling sesuai untuk bertafakur dan memohon petunjuk daripada Allah dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Hasnah Hussiin ,Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang



Bahagian 2 :Apakah maksud kemerdekaan?

Mungkin kita tidak menyedari bahawa nikmat kemerdekaan yang dikurniakan Allah merupakan suatu bentuk ujian kepada kita agar kita tidak terus lalai dengan nikmat yang diberikan tatapi lebih tawaduk dan lebih bersyukur kepada Allah yang Maha Pemurah dan Penyayang.

Mudah-mudahan kita dikurniakan nikmat yang lebih besar.Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7 yang berbunyi :

Maksudnya : "Dan ingatlah takkala Tuhan kamu memberitahu demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambah nikmatku ke atas kamu dan jika kamu kufur sesungguhnya azabKu amatlah pedih".

Janganlah kita memperbanyakkan program yang berbentuk hiburan semata-mata kerana ia tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada masyarakat sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal.Kita berkewajipan membina diri kita dan umat Islam dari pemikiran yang sempit atau ajaran sesat yang menganggu gugat akidah umat Islam.

Terdapat di kalangan orang Islam masih terikut-ikut dan cenderung kepada kebudayaan dan cara hidup penganut agama lain. Tepatlah sebagaimana yang difirmankan Allah didalam surah al-Baqarah didalam ayat 120 yang berbunyi :

Maksudnya : "Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga kamu menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)".

Kita mesti berubah dengan berusaha meningkatkan daya usaha kita dan seluruh masyarakat di negara kita agar tidak lagi dijajah dari sudut mental mahupun fizikal. Firman Allah didalam surah al-Rad ayat 11 :

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadanya".

Oleh yang demikian, perlulah kita menguatkan akidah dan cara hidup berasaskan kepada Islam dan nilai-nilai keislaman yang unggul agar kita bebas dan merdeka daripada sebarang anasir yang memudaratkan dan yang boleh menggugat kemerdekaan tersebut.

Akhirnya, bukan sahaja kita perlu kekuatan dari segi fizikal, pertahanan dan sebagainya, tetapi meliputi juga kekuatan ekonomi. Firman Allah didalam surah al-Anfal ayat 60 yang berbunyi:

Maksudnya : "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) Allah segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap tersedia, untuk mengerunkan pihak musuh yang lain dari mereka yang tidak kamu ketahui, sedang Allah mengetahui. dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya".